Thursday, October 17, 2013

Isu Kalimah Allah : Siapa yang menang?

Sebelum mengulas lebih lanjut, eloklah difahami dulu isu yang dibincangkan ini. Isu ini sebenarnya merujuk kepada penggunaan kalimah Allah di dalam penerbitan kepada sebuah majalah Katholik "The Herald" di Malaysia. Ia bukanlah isu menidakkan Allah itu adalah tuhan bagi orang kafir seacara amnya tau yang beragama katholik khasnya. Sebab ramai yang masih keliru tentang isu sebenar kalimah Allah ini. Berdegar degar berdemo di sana sini sedangkan isu sebenar pun masih kabur.

Tidak ada keraguan terhadap tujuan sesuatu penerbitan oleh sesuatu institusi agama adalah semata mata untuk tujuan dakwah. Jadi fungsi utama akhbar "The Herald" ini juga bertujuan untuk menyampaikan dakwah bagi agama Katholik. Dan fungsi utama dakwah ialah untuk menarik masyarakat untuk mengikuti dan menganuti sesebuah agama.  Maka dapatlah difahami alasan kerajaan atau pemerintah berusaha untuk melarang penggunaan kalimah Allah dalam The Herald adalah untuk mengelakkan kekeliruan terhadap umat Islam.

Dari segi hukum dan nas nas, isu ini terbahagi kepada 2 perkara. Hukum mereka yang kafir menggunakan kalimah Allah. Manakala yang kedua ialah tentang maslahah tentang dakwah dalam kerangka realiti di Malaysia. Saya tidak mahu menyentuh hal ini kerana kecetekan ilmu saya. Walaubagaimana pun, UZAR telah membuat ulasan tentang ini secara menyeluruh. Jika berminat, bolehlah baca di link ini - http://zaharuddin.net/soal-jawab-a-isu-pilihan/910-nama-allah-ekslusif-atau-tidak-hukum-asal-dakwah-a-siyasah.html .

Persoalannya siapa yang mendapat laba, hasil dari isu ini sebenarnya. Cuba kita lihat dari sudut populariti. Gereja telah mendapat publisiti meluas hasil dari isu ini, walaupun mereka tewas dari sudut perundangan. Gereja telah menunjukkan kesungguhan untuk menggunakan kalimah Allah. Dari sudut pandang penganut katholik, mereka mendapat keyakinan bahawa God @ Lord di dalam kitab mereka dan yang mereka imani adalah Allah. Gereja juga sedikit sebanyak telah berjaya mendoktrinkan pemikiran mereka yang tidak beragama katholik termasuk umat Islam di negara ini bahawa yang dimaksudkan God @ Lord itu ialah Allah. Lebih dikukuhkan lagi apabila selesai prosiding mahkamah pihak gereja mengeluarkan statement yang bersifat positif dan terus menunjukkan keyakinan mereka, ini antara statement yang dibuat oleh Ketua Biskop Bolly Lapok,pengerusi Persatuan Gereja Sarawak :

"Buat masa ini, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak akan terus hormat menyembah "Allah" ini sehingga kerajaan-Nya tiba. Dan kami mahu bertanya kepada kerajaan: Apa yang akan kamu lakukan tentangnya?"

Berbeza dengan sikap umat Islam  yang menangani isu ini. Pertama adalah demo demo yang dijalankan telah menunjukkan umat Islam cepat melatah dalam menangani isu seperti ini. Kedua, statement2 yang dibuat oleh ulama termasuk seorang mufti  yang bersifat negatif. Sehingga ada yang memurtad dan mengkafirkan orang Islam yang tidak menerima keputusan mahkamah ini. Walhal ia hanyalah suatu keputusan yang dibuat tanpa nas, ia dibuat atas sebab maslahah sahaja. Adakah hanya kerana itu umat Islam boleh jatuh murtad?  Adakah umat Islam di negara lain, seperti di Mesir, Indonesia yang membenarkan penganut kristian menggunkan kalimah Allah juga murtad? Jelas di sini, umat Islam sendiri yang tertewas dalam menangani isu ini? Bak kata pepatah, "Ayam menang kampung tergadai".

Maslahah besar yang berbangkit kerana isu Kalimah Allah ini adalah kerisauan tentang Aqidah umat Islam yang kurang ilmunya. Adakah hanya dengan menghalang gereja berdakwah akan meningkatkan aqidah umat Islam? Tidak sama sekali. Ia cuma dapat memperlambatkan proses itu. Perkara yang lebih besar yang perlu ditangani adalah bagaimana sebagai seorang mufti, ulama2, ketua ketua masyarakat, bapa bapa dan ibu ibu dapat membantu menguatkan aqidah umat islam yang dibawah tanggungjawab masing masing.

Akhir kata, saya tetap berpendirian bahawa, Allah adalah tuhan seluruh alam, tuhan yang satu, tuhan kepada yang beriman mahupun yang tidak beriman. Tuhan bagi yang mengesakanNya mahupun yang menyekutukanNya. Penganut agama samawi semua beriman kepada Allah namun mereka syirik kepada Allah dengan menyatakan Jesus/Isa anak Allah, manakala yahudi menyatakan Uzair anak Allah. Saya juga menyokong usaha pihak kerajaan yang cuba mengelakkan kekeliruan umat Islam di sini dengan cara melarang ia digunakan pihak gereja menggunakannya sewenang wenangnya tapi tidak setuju dengan kenyataan yang menyatakan boleh jatuh murtad jika tidak menyokong keputusan tersebut.

Wallahualam.