Tuesday, September 17, 2013

16 Sept : Hari Malaysia dan juga Hari Kematian Chin Peng (Parti Komunis Malaya)

Tahun ini Hari Malaysia dibungai dengan kematian Chin Peng, pemimpin tertinggi Parti Komunis Malaya. Chin Peng dianggap penjenayah dan pengkhianat oleh mereka yang pro UMNO dan ada sebahagian dari pro Pakatan Rakyat pula ingin memaafkan Chin Peng dan tidak kurang juga yang ingin mengangkat beliau sebagai seorang pejuang kemerdekaan Tanah Melayu ini. Semuanya mempunyai alasan tersendiri, sama ada yang menyokong Chin Peng mahupun yang membenci beliau. Namun begitu, kebanyakannya atas alasan yang sempit berdasarkan politik semasa. Kepada yang menyokong Chin Peng berhujahlah tanpa melibatkan kebencian terhadap UMNO BN. Kepada yang membenci Chin Peng juga berhujahlah tanpa mengaitkan DAP atau parti pembangkang yang lain.

Isu pertama : Adakah Chin Peng boleh dianggap Pejuang Kemerdekaan?

Sebelum mengangkat seseorang dengan status tertentu, apa yang harus jelas adalah kriteria untuk status tersebut. Jadi, apakah kriteria sebenar yang perlu dipenuhi jika ia mahu digelar pejuang kemerdekaan? Di bawah adalah pendapat saya tentang kriteria utama yang patut ada jika mahu melabelkan seseorang itu pejuang kemerdekaan di TANAH MELAYU.

1) Berjuang secara KONSISTEN menentang PENJAJAH
2) Setelah penjajah kalah/berundur, berjuang atau berusaha secara konsisten mendirikan negara
3) Membela nasib rakyat negara secara KESELURUHAN
4) Berjuang hanya atas kepentingan Negara dan Rakyat, bukan kerana survival politik dan ideologi tertentu atau kerana kepentingan peribadi.

Cukuplah 4 kriteria ini untuk dijadikan topik perbincangan. Bagi kriteria pertama saya rasa Chin Peng dan PKM layak. Sememangnya PKM mengangkat senjata berjuang menghalau penjajah Jepun dan British.

Namun pada 1955, tiada kesepakatan dibuat dalam rundingan yang diadakan di Baling dimana parti perikatan iaitu kerajaan yang di pilih rakyat pada tahun 1955 menuntut PKM meletakkan senjata dan PKM dibubarkan dan manakala PKM pula menuntut agar PKM dibenarkan untuk bergerak sebagai parti politik jika mahu mereka melatakkan senjata. Ini jelas yang sebenarnya PKM berjuang atas dasar mempertahankan ideologi Komunis, bukan atas dasar negara mahupun bangsa. Lebih malang lagi mereka terus mengangkat senjata memerangi pasukan keselamatan dan membunuh rakyat awam yang tidak memihak kepada mereka sedangkan pemimpin dan rakyat sedang bertungkus lumus untuk memajukan negara. (Gagal dalam Kriteria #2)

Pada 1957, sekali lagi tawaran dibuat kepada PKM, namun ia ditolak lagi. Maka selepas itu pasukan keselematan terus menerus bekerja keras mengawal ancaman Komunis. Ramai dari mereka gugur memepertahankan negara begitu juga rakyat awam. Tapi PKM tanpa rasa penat mengancam keselamatan negara, manakala rakyat dan pemimpin negara terus bertungkus lumus membangunkan negara. Ini berterusan sehinggalah ke tahun 1989. (Gagal Kriteria #4 #3).

2 Disember 1989,  akhirnya PKM menerima tawaran peletakan senjata oleh Kerajaan. PKM telah bersetuju meletak dan menyerahkan senjata sepenuhnya serta menamatkan keganasan mereka di Tanah Melayu(Sila lihat http://ms.wikipedia.org/wiki/Perjanjian_Haadyai). Antara syarat kembali ke tanahair ialah memajukan permohonan (tempoh tamat setahun) dan hadir ke sesi temuduga. Malangnya Chin Peng hanya memohon pada saat akhir iaitu sehari sebelum tarikh tawaran berakhir. Namun Chin Peng tidak hadir pada sessi temuduga. Jika beliau benar2 seorang negarawan yang begitu ingin pulang ke tanah air tercinta, sudah tentu beliau tidak akan sia2 kan peluang terbaik ini. Kenapa beliau buat begini. Jawapannya.. terkubur bersama abu mayatnya.

Maka jelaslah disini. Chin Peng tidak menepati kriteria untuk dianggap sebagai seorang negarawan mahupun pejuang kemerdekaan.

Isu kedua : Maafkan Chin Peng

Bukan hak negara untuk memaafkan Chin Peng. Yang hanya berhak untuk maafkan Chin Peng adalah keluarga keluarga pejuang pejuang negara yang terkorban dan keluarga rakyat rakyat yang dibunuh secara zalim oleh askar askar komunis. Yang berkokok mahu maafkan Chin Peng, tanyalah diri sama ada anda berhak atau tidak. Jika anda berhak, anda boleh maafkan(ini yang lebih baik) tapi anda tidak boleh memaksa mereka yang lain yang juga berhak, untuk memaafkan beliau.


Isu ketiga : Semadikan Abu Chin Peng di Tanah Melayu.

Ini sepatutnya tidak menjadi isu besar walau dilarang kerajaan. Kalau nak sangat, bolehlah seludup abu mayat itu dan semadikan lah dimana jua anda suka. Namun jika tidak dibenarkan itu mungkin ada rasionalnya, Mungkin utk mengelakkan hal hal yang tidak baik berlaku. Mungkin akan mencetuskan emosi yang kurang senang kepada keluarga mangsa sehingga  mengakibatkan tempat persemadiannya dijadikan tempat untuk melepaskan geram dan sebagainya. Atau untuk mengelakkan para peng"idol" beliau membuat tempat pemujaan dan sebagainya.

------

Inilah hujah saya yang tidak mendasarkan politik sempit sebagai alasan menolak atau menerima Chin Peng. Saya mengalu-alukan hujah mereka yang menyokong mahupun yang bertentangan.

Walau apapun hanya Allah yang mengetahui segala yang tersurat dan tersirat. Semoga Dia memberi kita petunjuk ke jalan yang diredhai

Wallahualam.