Thursday, December 22, 2011

Selamat Hari Lahir Tun M

Bunyinya macam membodek, tak pun sebenarnya, sebab tak guna pun membodek bukan dia yang bayar gaji aku. Walaupun aku sendiri tidak berpuas hati dengan beberapa pendirian beliau namun tidak dapat dinafikan ada juga jasa jasa yang telah beliau taburkan sepanjang menerajui pemerintahan dan setidak tidaknya beliau masih beragama Islam, jadi beliau tetap layak untuk menerima ucap selamat dari kita semua.

Begitulah kehidupan, adakalanya di atas adakalanya di bawah, kadangkala disanjung kadangkala dihina. Itulah ketentuanNya. Dia menguji kita ketika kita berada di puncak kekuasaan dan juga ketika rebah menyembah bumi. Ketika di puncak tampuk pemerintahan, Dia menguji sama ada kita akan menggunakan kekuasaan yang berada ditangan untuk melaksanakan perintahNya atau tidak. Begitu juga ketika di bawah, adakah ketika bersyukur dan bersabar.

Berbalik kepada Tun M, beliau bagi aku seorang yang amat berkarisma. Beliau berjaya membawa nama negara ke persada dunia. Namun keasyikan beliau ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, beliau mungkin terlupa landasan landasan yang ditetapkan oleh yang meminjamkan kekuasaan kepada beliau. Orang orang di kiri dan kanannya juga mungkin terlupa memberi nasihat dan peringatan tentang perintah yang Maha berkuasa  kepada beliau.

Tun M juga boleh dikatakan seorang yang mempunyai keberanian yang tinggi. Beliau tidak takut untuk mengkritik kuasa kuasa besar. Walaupun dibelakang tabir mungkin tidak begitu, setidak tidaknya yang zahir kepada kita rakyat biasa, itulah yang kita nampak. Namun keberaniannya juga yang menidakkan beberapa perintah Yang Maha Kuasa membuatkan Malaysia juga semakin jauh daripada landasan yang ditetapkan oleh Dia Yang Maha Pencipta.

Wawasan 2020 pula salah satu agenda beliau yang memotivasikan rakyat Malaysia. Tapi bagi aku, yang paling baik adalah keinginan beliau untuk menjadikan dinar emas digunakan untuk dagangan antarabangsa. Walaupun ia tidak sepenuhnya mengikut landasan ia sudah amat hampir dengan landasan. Alangkah baiknya jika pemerintah sekarang meneruskan usaha ini sehingga ia terlaksana.

Apapun, harapan aku agar Tun M dapat terus menyumbangkan idea idea yang bernas dengan dibantu oleh ulama ulama yang benar benar ingin melihat negara ini berada dilandasan yang diredhaiNya. Insyaallah.


No comments: