Friday, December 23, 2011

SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM - SBPA

Mulai tahun hadapan, insyaallah Penjawat Awam (PA) akan menikmati gaji baru berdasarkan SBPA ini. Ada yang tersenyum lebar dan tak kurang juga yang tidak berpuas hati. Walaupun SPBA ini merangkumi semua aspek namun seperti biasa soal gajilah yang menjadi tumpuan para PA. (Anda boleh membaca feedback2 dari PA tentang hal ini di sini : http://cuepacs.blogspot.com)

Kalau diperhatikan, tidak ramai yang membicarakan tentang tanggungjawab masing masing, usaha usaha mempertingkat prestasi semuanya hanya berkisar dengan kenaikan gaji semata. Bila dibahagian gaji kebanyakkannya mahu dinaikkan lebih, apabila berbicara mengenai penilaian prestasi pula kebanyakkannya mahu menurunkan percentage nilai prestasi.Walaubagaimanapun komen komen di blog CUEPACS tidaklah menggambarkan komen semua PA di Malaysia. Ada yang mengambil langkah terima dan diam asalkan tidak menggugat periuk nasi mereka.

Pihak JPA juga perlu melakukan perubahan ini secara adil dan jelas. JPA perlu memikirkan kaedah terbaik bagi melaksanakan proses penilaian prestasi agar ia adil dan telus. Harapnya JPA tidak membuat perubahan ini sekadar menjadi kuda politik dari mana mana pihak. JPA harus mempunyai objektif yang jelas iaitu mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam.

Perkara lain yang perlu difikirkan adalah bagaimana phak JPA dapat menarik minat mereka yang sedang berkhidmat dengan sektor swasta dapat diserapkan ke sektor perkhidmatan awam. Jika ini dapat dilakukan, setidak-tidaknya ada yang boleh membawa masuk budaya kerja yang baik ke sektor perkhidmatan awam. Jika dilihat kebanyakan penjawat awam berada di sektor perkhidmatan awam sejak dari awal di mana kita sedar sewaktu masa dahulu budaya kerja di sektor awam kurang produktif dan efisyen jika dibandingkan dengan sektor swasta. Ini menyukarkan proses  perubahan budaya kerja yang lebih baik kerana mereka sudah terbiasa dengan budaya kerja yang lama. Jika dapat diserapkan sekurang kurangnya dari tahap pengurus di sektor swasta ke dalam perkhidmatan awam setidak tidaknya ia akan dapat membantu JPA melaksanakan misi perubahan ini.

Apapun jika kita semua sedar agar tanggungjawab yang diberikan, itu adalah yang terbaik. Melaksanakan tugas yang diamanahkan adalah satu kewajiban. Imbuhan yang sebenarnya ketentuan tuhan akan tetap datang. Nilai RM 100 anda mungkin tidak sama dengan nilai RM 100 orang lain. Fikirkan...

Thursday, December 22, 2011

Selamat Hari Lahir Tun M

Bunyinya macam membodek, tak pun sebenarnya, sebab tak guna pun membodek bukan dia yang bayar gaji aku. Walaupun aku sendiri tidak berpuas hati dengan beberapa pendirian beliau namun tidak dapat dinafikan ada juga jasa jasa yang telah beliau taburkan sepanjang menerajui pemerintahan dan setidak tidaknya beliau masih beragama Islam, jadi beliau tetap layak untuk menerima ucap selamat dari kita semua.

Begitulah kehidupan, adakalanya di atas adakalanya di bawah, kadangkala disanjung kadangkala dihina. Itulah ketentuanNya. Dia menguji kita ketika kita berada di puncak kekuasaan dan juga ketika rebah menyembah bumi. Ketika di puncak tampuk pemerintahan, Dia menguji sama ada kita akan menggunakan kekuasaan yang berada ditangan untuk melaksanakan perintahNya atau tidak. Begitu juga ketika di bawah, adakah ketika bersyukur dan bersabar.

Berbalik kepada Tun M, beliau bagi aku seorang yang amat berkarisma. Beliau berjaya membawa nama negara ke persada dunia. Namun keasyikan beliau ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, beliau mungkin terlupa landasan landasan yang ditetapkan oleh yang meminjamkan kekuasaan kepada beliau. Orang orang di kiri dan kanannya juga mungkin terlupa memberi nasihat dan peringatan tentang perintah yang Maha berkuasa  kepada beliau.

Tun M juga boleh dikatakan seorang yang mempunyai keberanian yang tinggi. Beliau tidak takut untuk mengkritik kuasa kuasa besar. Walaupun dibelakang tabir mungkin tidak begitu, setidak tidaknya yang zahir kepada kita rakyat biasa, itulah yang kita nampak. Namun keberaniannya juga yang menidakkan beberapa perintah Yang Maha Kuasa membuatkan Malaysia juga semakin jauh daripada landasan yang ditetapkan oleh Dia Yang Maha Pencipta.

Wawasan 2020 pula salah satu agenda beliau yang memotivasikan rakyat Malaysia. Tapi bagi aku, yang paling baik adalah keinginan beliau untuk menjadikan dinar emas digunakan untuk dagangan antarabangsa. Walaupun ia tidak sepenuhnya mengikut landasan ia sudah amat hampir dengan landasan. Alangkah baiknya jika pemerintah sekarang meneruskan usaha ini sehingga ia terlaksana.

Apapun, harapan aku agar Tun M dapat terus menyumbangkan idea idea yang bernas dengan dibantu oleh ulama ulama yang benar benar ingin melihat negara ini berada dilandasan yang diredhaiNya. Insyaallah.


Wednesday, December 21, 2011

Antara Hasan Ali,Anwar Ibrahim dan SMM

Minggu ini senario politik Malaysia berkisar kepada 3 kisah utama. Kisah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang berdemo mempertikaikan kepimpinan DS Najib diikuti dengan kisah Tun M mencabar DS Anwar bersumpah tentang isu IMF dan kisah Dr Hasan Ali yang tak puas hati dengan PAS. Aku tak kisah sangat pun dengan 3 perkara ini, cuma sekadar dengar dan lihat. Sedar tak sedar PRU 13 makin menghampiri, kita dapat lihat penggal yang akan berakhir ini penuh dengan kesibukan para pemimpin negara bermain dengan politik.

Penggal yang lalu takdir tuhan seolah olah memberikan kemenangan kepada semua parti parti utama. UMNO/BN dapat memerintah Malaysia secara keseluruhan, kelantan dan Kedah diberi kepada PAS, DAP diberikan Pulau Pinang, PKR pula dapat menerajui Selangor, Pakatan Rakyat (DAP/PAS/PKR) pula bersama sama menerajui Perak. Tuhan seolah olah memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melihat dan menilai  sendiri bagaimana mereka mereka ini apabila sudah diberikan kuasa. Terpulanglah kepada kita semua dari sudut manakah kita menilai kejayaan mereka mereka ini. Yang pastinya tidak ada satupun yang dapat melaksanakan Islam seperti yang dituntut oleh si Dia Yang Maha Berkuasa.

Bila dikatakan melaksanakan Islam, mungkin yang terbayang di fikiran biasanya adalah hudud. Namun sebenarnya ia hanyalah sebahagian kecil yang aku maksudkan. Sistem riba yang jelas menguasai sistem ekonomi kita, sistem sosial yang penuh kepincangan, sistem pendidikan yang semakin menjauhkan generasi kita dari landasan, amat jarang disentuh oleh pemimpin pemimpin negara yang beragama Islam.

Apakah sebenarnya puncanya? Dimanakah silapnya? Bagi aku jawapannya jelas, sistem utama yang memincangkan sub sistem sub sistem   ini adalah sistem pemerintahan yang diamalkan.

Wallahualam.