Tuesday, November 01, 2011

Mampukah kita bertahan?

Sudah lama jari ini tidak mengetuk memberi respons kepada isu isu terkini. Sibuk dengan kehidupan seharian menjadi alasan yang paling konkrit. Jari yang tidak mengetuk bukan bermakna berdiam diri, usaha memperbaiki keadaan melalui perbincangan bukan formal bersama teman teman seperjuangan tetap berjalan seperti biasa.

Hari ini kita berita berita mengenai kemelut ekonomi dunia semakin kerap didengar. Kali ini eropah menjadi bukti betapa sistem kapitalis yang kian menuju kehancuran. Sekuat mana pun kita menafikannya, dunia sekarang sememangnya menerap dan menyanjung sistem ini termasuk negara kita yang tercinta. Persoalannya berapa lamakah kita akan mampu mempertahankan sistem yang kita tahu dan sedar teramat pincang. Sudah beberapa kali kita disajikan dengan bukti kegagalannya, namun hati hati kita umpama buta untuk melihat bukti bukti yang nyata itu. Kenapa ini boleh terjadi?

Percaya atau tidak, penjajahan oleh negara negara barat adalah titik tolak kita menerima ideologi kapitalis ini. Bayangkan berapa lama usaha mereka mem"brainwash"kan pemikiran pemikiran kita sehingga kita merasakan sistem kapitalis adalah sistem ekonomi yang amat baik. Hari ini, masyarakat akan ketawa kalau kita tidak memahami sistem ekonomi kapitalis ini. Di sekolah kita di ajar dengan sistem ini. Kadar faedah yang dikenakan untuk pelbagai jenis transaksi dianggap biasa dan patut, malah kita mempertahankannya. Kita akan berkata, kalau bank tidak kenakan faedah macammana bank nak beroperasi?". Walaupun kebelakangan ini masalah riba sudah kuat diperkatakan namun kita lebih kuat mempertahankan kaedah dalam sistem kapitalis berbanding sistem ekonomi yang diajar oleh pencipta kita.

Semasa kita dijajah, sedar atau tidak, usaha utama yang dilakukan oleh mereka ada memisahkan agama dengan kehidupan. Mereka cuba membuatkan yang dijajah faham bahawa sistem ekonomi tidak ada kena mengena dengan agama, sistem pemerintahan juga tidak ada kena mengena dengan agama. Keputusannya hari ini, orang Islam merasa geli bila melihat babi, merasa geli apabila melintas didepan restoran cina yang menyajikan daging babi, namun kita tak merasa apa apa bila kita melibatkan diri dalam riba. Kita tidak merasa jijik bila mengizinkan pemimpin pemimpin yang kita pilih membuat undang undang dengan tangan tangan mereka (Parlimen), lebih dasyat lagi kita hanya tersenyum apabila ada orang mentertawakan dan menghukum mereka yang cuba menerap dan membawa kita ke jalan yang sepatutnya kita pilih. Kita menyanjung mereka yang kononnya "berjaya" dalam dunia korporat. Dan akhir sekali, apabila kita menilai kejayaan orang lain dan diri sendiri berdasarkan materi, ini bermakna penjajah yang menjajah kita dan pulang 50 tahun dahulu itu sudah berjaya membutakan hati hati kita.

Hari ini mereka yang merosakkan pemikiran kita dengan sistem mereka telah gagal dengan sistem yang mereka cipta sendiri. Kita masih tetap mempertahankan bahawa sistem ini adalah sistem terbaik. Tahniah buat mereka yang berjaya meyakinkan kita, takziah buat kita yang dikelirukan.

Berapa lama lagi kita akan mampu bertahan? Yang mencipta kita sedang melihat kedegilan kita. Dengan kasih sayangNya, bukti kepincangan disajikan, terpulang pada kita utk menilainya. Semoga kita dapat menemui jalan keluar dari onak dan duri ini.




No comments: