Wednesday, November 23, 2011

Erti kemenangan

Tahniah buat pasukan Harimau Muda yang berjaya mempertahankan pingat emas bolasepak dalam Sukan Sea kali ini. Kemenangan yang bermakna buat negara. Pelbagai reaksi yang kita dapat lihat sepanjang tempoh perlawanan akhir ini. Secara umumnya, semasa perlawanan kita boleh lihat bagaimana rakyat Malaysia bersatu, bersama sama memberi sokongan walaupun hanya berada di depan TV. Di kedai kedai mamak kita boleh lihat pelbagaii reaksi penyokong. Ada yang mengeluh kuat apabila sesuatu peluang disia siakan. Ada yang menjerit mengarah pemain dan macam macam lagi.

Selain daripada reaksi menonton bola, kita juga dapat lihat mereka yang tidak mengenali antara satu sama lain berbual lebih mesra daripada biasa. Tak kira bangsa dan warna kulit, mereka petah mengulas apa yang ditonton. Ada pula yang "Gimme 5" bila pasukan kita berjaya menyamakan kedudukan. Sememangnya perlawanan ini sedikit sebanyak menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

Apabila jaringan terakhir daripada kapten pasukan Harimau Muda memastikan kemenangan pasukan negara. Semua bersorak gembira, ada yang berpelukan antara satu sama lain. Alangkah harmoninya suasana yang dapat dilihat ketika itu walaupun keadaan agak riuh dengan jeritan sorakan kemenangan. Semua pulang dengan rasa bangga. Itulah hadiah buat penyokong. Mereka akan terus menyokong kerana mereka tahu apabila Team Malaysia berusaha keras untuk menang dan apabila kemengan dicapai penyokong juga mendapat satu perasaan yang hebat.

Namun kalau kita nilai dengan terperinci, bukanlah kemenangan yang menjadi faktor utama untuk rakyat memberi sokongan. Mereka menyokong kerana usaha keras yang dilakukan. Kemenangan adalah bonus kepada yang menyokong. Kemenangan juga akan membuatkan lebih ramai yang menyokong pada perlawanan yang akan datang. Walaubagaimanapun penyokong akan tetap menilai usaha yang dilakukan, jika kesungguhan ditunjukkan, kekalahan bukanlah racun yang membunuh sokongan, malahan ia akan menjadi satu rangsangan untuk mereka menyokong lagi di lain kali.

Tahniah sekali lagi buat Skuad Harimau Muda.

"Keputusan adalah perkara kedua.. apa yang utama adalah PERJALANAN kita mendapatkan sesuatu keputusan"

No comments: