Wednesday, November 23, 2011

Erti kemenangan

Tahniah buat pasukan Harimau Muda yang berjaya mempertahankan pingat emas bolasepak dalam Sukan Sea kali ini. Kemenangan yang bermakna buat negara. Pelbagai reaksi yang kita dapat lihat sepanjang tempoh perlawanan akhir ini. Secara umumnya, semasa perlawanan kita boleh lihat bagaimana rakyat Malaysia bersatu, bersama sama memberi sokongan walaupun hanya berada di depan TV. Di kedai kedai mamak kita boleh lihat pelbagaii reaksi penyokong. Ada yang mengeluh kuat apabila sesuatu peluang disia siakan. Ada yang menjerit mengarah pemain dan macam macam lagi.

Selain daripada reaksi menonton bola, kita juga dapat lihat mereka yang tidak mengenali antara satu sama lain berbual lebih mesra daripada biasa. Tak kira bangsa dan warna kulit, mereka petah mengulas apa yang ditonton. Ada pula yang "Gimme 5" bila pasukan kita berjaya menyamakan kedudukan. Sememangnya perlawanan ini sedikit sebanyak menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

Apabila jaringan terakhir daripada kapten pasukan Harimau Muda memastikan kemenangan pasukan negara. Semua bersorak gembira, ada yang berpelukan antara satu sama lain. Alangkah harmoninya suasana yang dapat dilihat ketika itu walaupun keadaan agak riuh dengan jeritan sorakan kemenangan. Semua pulang dengan rasa bangga. Itulah hadiah buat penyokong. Mereka akan terus menyokong kerana mereka tahu apabila Team Malaysia berusaha keras untuk menang dan apabila kemengan dicapai penyokong juga mendapat satu perasaan yang hebat.

Namun kalau kita nilai dengan terperinci, bukanlah kemenangan yang menjadi faktor utama untuk rakyat memberi sokongan. Mereka menyokong kerana usaha keras yang dilakukan. Kemenangan adalah bonus kepada yang menyokong. Kemenangan juga akan membuatkan lebih ramai yang menyokong pada perlawanan yang akan datang. Walaubagaimanapun penyokong akan tetap menilai usaha yang dilakukan, jika kesungguhan ditunjukkan, kekalahan bukanlah racun yang membunuh sokongan, malahan ia akan menjadi satu rangsangan untuk mereka menyokong lagi di lain kali.

Tahniah sekali lagi buat Skuad Harimau Muda.

"Keputusan adalah perkara kedua.. apa yang utama adalah PERJALANAN kita mendapatkan sesuatu keputusan"

Sunday, November 20, 2011

Final : Malaysia VS Indonesia (Sukan SEA)

Nampaknya sekali lagi Malaysia akan bertemu Indonesia dalam pertandingan akhir, kali ini bagi merebut gelaran emas dalam Sukan SEA. Seperti biasa apabila melibatkan pertemuan antara Malaysia dan Indonesia ia sudah tentu menjadi satu yang panas, walaupun perlawanan baru di peringkat kumpulan. Dari satu aspek ia adalah satu kejayaan buat Malaysia dan Indonesia kerana ia dapat memperkenalkan 2 negara ini. Ia juga menunjukkan 2 negara ini adalah yang terbaik di rantau ini. Dari satu aspek lain ia nampaknya menjadi satu yang negatif kerana ada segelintir yang menganggap ia seolah olah satu peperangan, wujud perasaan benci yang boleh mengundang kepada kepada situasi tegang.

Kalau dilihat dalam konteks yang lebih besar,  sebenarnya apa sahaja isu yang melibatkan Malaysia-Indonesia selalunya akan menjadi tumpuan. Walaupun isu sekecil seperti tarian kebudayaan, akan berubah menjadi isu yang besar. Jika kita lihat sentimen ini berlaku disebabkan manipulasi media terutama media di Indonesia tidak kurangnya di Malaysia yang sering membangkitkan isu isu kecil seperti ini dan diolah sedemikan rupa seperti sengaja mewujud perasaan tegang antara rakyat Indonesia dan Malaysia.

Bak kata pepatah "Air dicincang tak akan putus", itulah yang boleh diperkatakan apabila cubaan cubaan bagi menegangkan keadaan antara Malaysia dan Indonesia akhirnya menemui kegagalan. Hubungan warga Indonesia yang bekerja di Malaysia dengan rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi Orang Melayu Malaysia tetap baik, begitu juga Warga Malaysia yang berada di Indonesia. Walaupun ada juga berita mengenai pekerja indonesia di dera majikan, statistiknya amat kecil jika dibandingkan dengan jutaan warga indonesia yang tinggal di Malaysia. Dan rata rata kes kes seperti ini tidak melibatkan majikan Bumiputera(melayu).

Berbalik kepada peranan media yang selalu cuba memanipulasi sesuatu isu,selain daripada mengaut keuntungan, ia pasti mempunyai agenda yang tersembunyi. Tentu ada segolongan atau sekelompok atau negara lain yang mahu melihat ketidakstabilan antara Indonesia dan Malaysia. Siapakah mereka ini? Sebelum kita menuding jari, kita perlu lihat apa yang ada pada Malaysia dan Indonesia. Ada 2 kesamaan besar antara Indonesia dan Malaysia. Pertama adalah dari segi agama, 2 negara ini mempunyai penduduk yang majoriti menganut agama Islam. Kedua adalah dari segi bangsa penduduk asal kedua dua buah negara ini iaitu MELAYU. Walaupun di Indonesia terdapat melayu, jawa , sunda dan sebagainya mungkin dianggap berbeza, tapi sebenarnya ia masih dari segi rumpun yang sama. Ini terbukti kerana pemilihan bahasa kebangsaan Indonesia. Walaupun pusat pemerintahan Indonesia di Jakarta (Pulau Jawa) dan kebanyakan pemimpin pemimpin besar juga berketurunan Jawa, Indonesia memilih Bahasa Melayu. (Sila ke blog ini untuk membaca tentang kajian bangsa Melayu secara lebih terperinci [http://riwayatmelayu.blogspot.com/])

Berdasarkan 2 persamaan besar ini (ISLAM & MELAYU), kita boleh andaikan bahawa, yang ingin melihat ketidakstabilan antara 2 buah Negara ini datangnya dari mereka yang tidak suka kepada 2 perkara ini. Kebanyakan negara di rantau ini (Asia Tenggara) secara majoriti dihuni oleh penduduk asal(bangsa). Ekonomi ekonomi negara2 ini tidak bergantung sepenuhnya kepada ekonomi di Barat atau lebih tepat lagi US. namun ada sebuah negara yang kita lihat agak berbeza. Ia tidak dihuni oleh penduduk asal, dan ia amat bergantung kepada ekonomi barat. Barat atau lebih tepat lagi US dan konco konconya skeptik terhadap Islam. Kelompak yang tidak suka kepada melayu pula, semestinya tidak datang dari bangsa melayu itu sendiri. Kelompok yang merasa tergugat adalah kelompok yang bukan berasal dari rantau ini tetapi menetap di rantau ini. Sememangnya ini adalah satu andaian, terpulanglah kepada pembaca menilai sendiri kebenarannya.

Apapun perlawanan akhir antara Malaysia dan Indonesia ini pasti satu perlawanan yang mendebarkan. Jika anda berada diluar negara anda boleh menonton perlawanan ini secara langsung di

1) http://www.rtm.gov.my/LiveStreamingTV1/

2) http://www.tonton.com.my/#/home/Live_1317866841/SEA_Games_Opening_Ceremony

Kekalkan semangat kesukanan.

Friday, November 18, 2011

UPSR - Permulaan kepada pendidikan berteraskan peperiksaan

2 hari lepas, keputusan peperiksaan UPSR telah diumumkan. Ada yang melompat kegirangan ada juga yang monyok ada juga yang bersahaja. Itu lah resam pelajar sekolah di Malaysia. Selepas ini mereka akan menduduki PMR dan seterusnya SPM. Dalam setiap peperiksaan ini mereka akan menghadapi situasi yang sama seperti 2 hari lepas. Yang dapat banyak A akan gembira yang kurang pula akan agak muram. Yang mendapat banyak A diangkat sebagai pengharum nama sekolah juga negara. Itulah ukuran kejayaan pada peringkat umur 12, 15 dan 18. Apakah benar kejayaan mendapat banyak A itu boleh dianggap satu kejayaan yang amat besar? Apakah benar yang kurang dapat A atau gagal dalam peperiksaan itu dianggap satu kegagalan yang serius? Bagi kebanyakan rakyat Malaysia akan menjawab "Ya". Mungkin ada benarnya, namun kita perlu lihat dari mana datangnya A tersebut, Sepenuhnya datang dari peperiksaan bertulis atau ada elemen elemen lain? Seperti yang kita tahu, A itu hanya datang dari elemen peperiksaan bertulis yang dijalankan pada setiap penghujung tahun.

Kepada yang sudah berpengalaman meniti hari hari sebagai seorang yang berkerja. Adakah benar ukuran kejayaan itu terletak pada kejayaan nya dalam bidang akademik sahaja? Jika anda seorang yang hebat dalam akademik tapi anda mempunyai "low self esteem", adakah anda akan mampu menjadi seorang "boss" yang baik? Tidakkah kita terfikir jika mendapat banyak A itu adalah satu kejayaan besar, kenapa di Malaysia sekarang masih kurang dengan inovasi? Tentu ada salah dan silapnya ukuran yang kita letak bagi menilai kejayaan pelajar pelajar kita. Sudah sampai masanya kita dan khususnya kementerian bertanggungjawab meneliti sistem pendidikan kita hari ini, jika kita mahu melihat perubahan yang lebih positif.

Salah satu perkara yang perlu dititik beratkan dalam sistem pendidikan kita adalah cara berfikir dan "Kreatif". Ini patut dijadikan salah satu elemen untuk mendapatkan "A" atau menjadi salah satu ukuran dalan kejayaan pelajar pelajar. Pemikiran yang kreatif  adalah permulaan untuk mendapatkan sesuatu yang berinovasi. Di negara kita tidak ada tempat yang baik untuk pelajar yang kreatif untuk menggilap dan menunjukkan kekreatifannya. Kalau ada sekalipun, ia tidak menjadi satu ukuran, kerana dia mungkin dibelenggu dengan kegagalan atas ukuran yang kita letak tadi. Oleh kerana ibubapa juga menekankan supaya mereka belajar bersungguh (dalam akademik untuk menghadapi peperiksaan supaya dapat A) masa untuk dia melahirkan kekreatifannya itu akan berkurang dan akan terpendam begitu sahaja. Kepada yang kurang kreatif pula, mereka mungkin berminat dengan akademik, maka ibu bapa dan guru gembira kerana dia selalu mendapat A tapi kita telah lupa mendidik dan mangasah otaknya supaya lebih kreatif.

Dalam agama Islam sendiri, kreatif adalah salah satu unsur yang penting. Contohnya untuk kita mempercayai Allah , kita tidak hanya boleh bersandarkan kepada pengetahuan akademik sahaja. Lihat terjemahan ayat dari surah

Al Baqorah ayat 216 :

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfa`atnya". Dan mereka bertanya pula kepadamu: apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "(Dermakanlah apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu)". Demikian Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatnya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir"

Al Baqorah ayat 299:
Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (korma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).

Banyak lagi ayat yang Allah yang mencabar otak kita utk berfikir secara kreatif. Bukan dengan hanya menafsirkan secara terus.

Jika kita hanya menitikberatkan soal akdemik yang secara terus(direct). Akhirnya kita akan menjadi seperti robot. Jika perjalanan A ke D secara biasanya memerlukan B dan C, kita akan terus mengikut B dan C selamanya tapi mereka yang kreatif mungkin hanya memerlukan C sahaja.

Kreatif bukannya salah satu perkara yang kurang dalam penilaian yang kita buat kepada pelajar kita sekarang. banyak lagi seperti jati diri,sahsiah dan lain lain yang patut dikaji bagaimana memasukkan elemen elemen ini dalam kita mendidik, mangasuh dan menilai generasi generasi kita ini.

Thursday, November 17, 2011

Siaran langsung Malaysia vs Indonesia (SEA Games)

Saksikan perlawanan bolasepak antara Malaysia dengan Indonesia secara online pada 17hb Nov (SEA Games) di sini

1) http://www.rtm.gov.my/LiveStreamingTV1/

2) http://www.tonton.com.my/#/home/Live_1317866841/SEA_Games_Opening_Ceremony

RM 100 untuk pelajar sekolah

Duit RM 100 yang dijanjikan pada Belanjawan baru baru ini sedang diagihkan. Berita menyiarkan temuramah2 pelajar, guru dan ibu bapa. Rata rata mengucapkan terima kasih dan syukur kepada kerajaan dan juga kepada DS Najib. Satu pun tidak menyatakan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia khususnya pembayar pembayar cukai dan syukur kepada Tuhan yang memberi rezeki. Salah seorang yang di temuramah yang menyatak terima kasih tak terperi kepada DS Najib adalah seorang Pengetua Sekolah.

Peliknya di negara kita, rakyat melihat wang kerajaan itu sebagai wang dari kerajaan semata mata. Tidakkah mereka sedar wang yang dibelanjakan itu adalah wang rakyat yang membayar cukai. Kita semua adalah pembayar pembayar cukai. Beli makanan pun bayar cukai, cakap telefon pun bayar cukai, beli barang pun bayar cukai. Wang wang cukai inilah yang dibelanjakan oleh kerajaan yang memerintah. Berterima kasih kepada kerajaan bukanlah satu kesalahan, cuma jangan lupa untuk berterima kasih juga kepada seluruh rakyat Malaysia dan menyatakan syukur kepada Dia yang memberi rezeki.

Kita telah setengah abad merdeka, tapi pemikiran masih sama. Pihak kerajaan sendiri seolah olah sengaja menyembunyikan fakta ini. Bila mereka berbuat sesuatu. mereka akan menyatakan yang kerajaan membelanjakan sekian sekian RM. Jarang sekali kita mendengar mereka menyatakan "Kerajaan membelanjakan wang rakyat untuk sekian sekian RM".

Akhir kata, aku mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia, walaupun RM 100 dari segi angkanya tidak sebesar mana, namun ia adalah titik peluh kita bersama.







Monday, November 14, 2011

Istana Negara di Jalan Istana, Kini tinggal kenangang

Inilah tajuk sebuah rencana yang terdapat di dalam laman Bernama :
http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsfeatures.php?id=626788

Artikel ini menceritakan serba sedikit sejarah Istana Negara yang bermula dari sebuah banglo milik rakyat China sehingga sekarang.

Tedapat beberapa persoalan yang bermain di fikiran saya ketika membaca artikel ini secara langsung dan tidak langsung;
1) Mengapa di bina sebuah Istana Baru? Adakah ia satu keperluan?
2) Apa makna institusi berajadan peranan raja di Malaysia?

Ada beberapa andaian yang saya buat bagi menjawab persoalan yang pertama. Berdasarkan artikel dari Bernama tersebut, Istana negara di Jalan Istana itu adalah bekas banglo seorang rakyat China dan kemudian diikuti dengan Tentera Jepun dan kerajaan British. Akhirnya istana ini direkabentuk oleh seorang arkitek berbangsa Cina yang bertugas dengan Jabatan Kerja Raya (Kontraktor tidak dinyatakan). Kemungkinan kerajaan malaysia membuat keputusan untuk membina Istana baru kerana kerana sebab ini. Jika itulah alasannya, siapa pulak arkitek untuk Istana Negara baru yang terletak di Jalan Duta? Siapa pula kontraktornya dan berapa juta/billion pula harga istana baru tersebut? Bagi menjawab peroalan sama ada ia adalah satu keperluan atau tidak, pada saya ia bukan satu keperluan. Ia hanyalah satu bentuk pembaziran yang nyata. Tidak ada cacat cela dengan Istana yang ada sekarang, cantik dan berseri malah lebih cantik dan berseri dari Istana Buckingham di England.

Berbicara tentang istana, satu lagi persoalan yang timbul iaitu tentang institusi beraja di Malaysia. Apa sebenarnya makna dan peranan di negara yang tercinta ini. Saya yakin amat sedikit yang faham tentang ini. Jika kita lihat peranan raja di Brunei atau Arab Saudi kita akan dapat faham peranan dan fungsi institusi ini. Saya tidak bermaksud untuk mempertikaikan institusi beraja jauh lagi untuk mempersendakannya. Cuma apa yang saya harapkan adalah pengetahuan tentang institusi ini diperjelaskan kepada semua rakyat Malaysia.
(http://ms.wikipedia.org/wiki/Yang_di-Pertuan_Agong)

Saya akui saya masih tidak memahami secara jelas fungsi dan peranan sebenar. Mungkin ini disebabkan oleh pengetahuan saya tentangnya dari pembacaan dan pembelajaran di sekolah dan universiti, saya masih tidak dapat rasionalkan peranannya di dunia sebenar. Sebagai contoh dalam tafsiran DYMM Yang di Pertuan Agong adalah Ketua Negara Malaysia, namun di dunia sebenar saya melihat bahawa Perdana Menteri yang menjadi Ketua Negara dan nampak lebih berkuasa. Saya yakin ramai lagi di luar sana yang seperti saya.

Bagi saya, adalah lebih baik jika Raja menjadi orang no 1 negara. Segala keputusan mukatamad hanya daripada baginda. Perdana Menteri dan parlimen hanyalah sebagai penasihat. Yang di Pertuan Agong akan meneliti secara terperinci satu satu perkara yang digubal di Parlimen dan selaku Ketua Agama Islam, baginda akan memastikan apa yang digubal juga tidak melanggar syariah. Majoriti 2/3 bukanlah penentu segala polisi itu dilaksanakan. Yang benar itu tetap benar walaupun hanya seorang dari 140 orang yang menyokongnya.

Akhir bicara, kuasa tertinggi tetaplah si Dia yang maha kuasa. Sebagai manusia yang di beri kuasa oleh si pemilik segala kuasa, perlulah bertanggungjawab dalam menggunakan kuasa yang ada pada dirinya dengan amanah dah jujur serta mengikut kehendak si pemberi Kuasa.

Wallhualam.


Tuesday, November 01, 2011

Mampukah kita bertahan?

Sudah lama jari ini tidak mengetuk memberi respons kepada isu isu terkini. Sibuk dengan kehidupan seharian menjadi alasan yang paling konkrit. Jari yang tidak mengetuk bukan bermakna berdiam diri, usaha memperbaiki keadaan melalui perbincangan bukan formal bersama teman teman seperjuangan tetap berjalan seperti biasa.

Hari ini kita berita berita mengenai kemelut ekonomi dunia semakin kerap didengar. Kali ini eropah menjadi bukti betapa sistem kapitalis yang kian menuju kehancuran. Sekuat mana pun kita menafikannya, dunia sekarang sememangnya menerap dan menyanjung sistem ini termasuk negara kita yang tercinta. Persoalannya berapa lamakah kita akan mampu mempertahankan sistem yang kita tahu dan sedar teramat pincang. Sudah beberapa kali kita disajikan dengan bukti kegagalannya, namun hati hati kita umpama buta untuk melihat bukti bukti yang nyata itu. Kenapa ini boleh terjadi?

Percaya atau tidak, penjajahan oleh negara negara barat adalah titik tolak kita menerima ideologi kapitalis ini. Bayangkan berapa lama usaha mereka mem"brainwash"kan pemikiran pemikiran kita sehingga kita merasakan sistem kapitalis adalah sistem ekonomi yang amat baik. Hari ini, masyarakat akan ketawa kalau kita tidak memahami sistem ekonomi kapitalis ini. Di sekolah kita di ajar dengan sistem ini. Kadar faedah yang dikenakan untuk pelbagai jenis transaksi dianggap biasa dan patut, malah kita mempertahankannya. Kita akan berkata, kalau bank tidak kenakan faedah macammana bank nak beroperasi?". Walaupun kebelakangan ini masalah riba sudah kuat diperkatakan namun kita lebih kuat mempertahankan kaedah dalam sistem kapitalis berbanding sistem ekonomi yang diajar oleh pencipta kita.

Semasa kita dijajah, sedar atau tidak, usaha utama yang dilakukan oleh mereka ada memisahkan agama dengan kehidupan. Mereka cuba membuatkan yang dijajah faham bahawa sistem ekonomi tidak ada kena mengena dengan agama, sistem pemerintahan juga tidak ada kena mengena dengan agama. Keputusannya hari ini, orang Islam merasa geli bila melihat babi, merasa geli apabila melintas didepan restoran cina yang menyajikan daging babi, namun kita tak merasa apa apa bila kita melibatkan diri dalam riba. Kita tidak merasa jijik bila mengizinkan pemimpin pemimpin yang kita pilih membuat undang undang dengan tangan tangan mereka (Parlimen), lebih dasyat lagi kita hanya tersenyum apabila ada orang mentertawakan dan menghukum mereka yang cuba menerap dan membawa kita ke jalan yang sepatutnya kita pilih. Kita menyanjung mereka yang kononnya "berjaya" dalam dunia korporat. Dan akhir sekali, apabila kita menilai kejayaan orang lain dan diri sendiri berdasarkan materi, ini bermakna penjajah yang menjajah kita dan pulang 50 tahun dahulu itu sudah berjaya membutakan hati hati kita.

Hari ini mereka yang merosakkan pemikiran kita dengan sistem mereka telah gagal dengan sistem yang mereka cipta sendiri. Kita masih tetap mempertahankan bahawa sistem ini adalah sistem terbaik. Tahniah buat mereka yang berjaya meyakinkan kita, takziah buat kita yang dikelirukan.

Berapa lama lagi kita akan mampu bertahan? Yang mencipta kita sedang melihat kedegilan kita. Dengan kasih sayangNya, bukti kepincangan disajikan, terpulang pada kita utk menilainya. Semoga kita dapat menemui jalan keluar dari onak dan duri ini.